ISU LELAKI: JERAWAT DAN AKNE

Bukan sahaja wanita, malah lelaki juga menghadapi masalah kulit bermasalah, terutamanya jerawat, akne dan bintik hitam pada wajah. Mungkin ramai yang kurang tahu bahawa penjagaan kulit dalam kalangan lelaki adalah sama pentingnya seperti penjagaan kulit dalam kalangan wanita. Malah, rutin penjagaan kulit lelaki dan wanita juga adalah sama. Tiada sebab untuk lelaki mengatakan bahawa mereka tidak perlukan produk penjagaan kulit serta menganggap ia sebagai suatu yang remeh.

 

Masalah utama yang sering dihadapi lelaki adalah untuk memilih produk penjagaan kulit yang sesuai dan mengamalkan rutin penjagaan kulit yang betul. Akibatnya ramai yang mengabaikan aspek penjagaan kulit seterusnya memburukkan lagi keadaan kulit wajah mereka.

Punca jerawat dan akne

Masalah akne dan jerawat merupakan sesuatu yang biasa dalam peringkat umur remaja, kerana pertukaran hormon serta proses tumbesaran mereka. Namun, bagi orang dewasa, punca utama yang boleh membawa kepada masalah jerawat ini biasanya berkaitan dengan gaya hidup, pemakanan serta pemilihan produk penjagaan kulit wajah.

 

Pemilihan makanan yang berminyak antara yang boleh menyumbang kepada berlakunya masalah jerawat, terutamanya bagi lelaki dengan kulit sensitif. Pengambilan air yang cukup serta melebihkan buah-buahan dalam diet harian boleh menghalang pembentukan jerawat dan membaiki sel-sel kulit yang bermasalah.

 

Satu lagi punca utama yang boleh menyebabkan jerawat serta akne adalah kurang pengetahuan dalam pemilihan produk penjagaan kulit wajah. Sebagai lelaki, anda juga seharusnya mengambil tahu akan fungsi serta peranan setiap bahan penjagaan kulit yang anda gunakan. Bagi mereka yang berkulit kering dan sensitif, pembersih muka haruslah berasaskan bahan yang lembut dan mampu untuk melembapkan kembali kulit wajah. Kebiasaannya, kulit yang kering mudah mengalami masalah lain seperti kegatalan, penggelupasan dan kemerahan pada kulit, terutamanya bagi mereka yang turut mengalami masalah kulit sensitif. Bagi lelaki yang menghadapi masalah ini, pilih produk yang tidak mempunyai bahan kimia yang kasar pada kulit bagi membantu untuk mengatasinya.

Faktor lain yang membawa kepada masalah jerawat dalam kalangan lelaki ini adalah penggunaan hormon steroid. Keadaan ini mungkin bagi lelaki yang menggunakan hormon steroid untuk meningkatkan otot badan, dan secara tidak langsung menyebabkan kulit wajah bermasalah.

Cara mengatasi/merawat

Pertamanya, adalah untuk melakukan rutin pencucian kulit wajah dua kali pada setiap hari.

Ia adalah penting untuk anda menanggalkan segala sisa kotoran yang terlekat pada wajah selepas seharian aktiviti di luar. Gunakan pembersih berasaskan bahan lembut dan bilas wajah menggunakan air suam. Amalkan juga penggunaan krim pelembap selepas cucian bagi memastikan kulit wajah sentiasa lembap dan tidak kusam.

 

Anda juga harus memastikan kebersihan rambut anda, kerana lebihan minyak daripada rambut boleh membuatkan keadaan kulit berjerawat menjadi semakin teruk. Elak penggunaan gel rambut yang terlalu banyak dan pastikan bahan yang digunakan untuk rambut tidak terkena pada bahagian kulit wajah yang bermasalah.

 

Dapatkan pandangan daripada pakar kulit atau doktor jika anda memerlukan sebarang antibiotik bagi menghalang pembentukan jerawat yang berterusan. Anda juga boleh meminta nasihat berkaitan pemakanan yang betul untuk menghalang pembentukan jerawat serta mendapatkan kulit yang lebih sihat.

 

Rujukan

How do you prevent pimples? (2018). https://www.medicalnewstoday.com/articles/321411#_noHeaderPrefixedContent

 

Jaliman, D. (2021). What men should know about acne. https://www.webmd.com/men/guide/acne-men

 

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

Related articles

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to shop